Latest Videos

Isnin, 8 November 2010

Apa itu minyak pelincir



Minyak pelincir (minyak enjin) atau pun bahasa pasarnya ialah minyak hitam berfungsi menyerap tekanan dan geseran yang boleh menyebabkan kehausan komponen-komponen enjin. Selain berfungsi sebagai cecair penyejuk dan mengawal pengaliran udara, minyak pelincir juga turut memainkan peranan utama dalam fungsi pengawalan dan penyerapan haba yang terhasil daripada operasi sesebuah enjin. Enjin-enjin yang berkapasiti lebih kecil (seperti motosikal 4 lejang) akan bergantung semaksimum mungkin kepada minyak pelincir dalam mengawal suhu enjin, selain daripada aliran udara.

Kebiasaannya orang akan menukar minyak pelincir setiap 5000km -10000km sekali mengikut keupayaan jenis minyak pelincir itu;
  • minyak pelincir jenis mineral (cth: Petronas Mach 5) - 5000 km
  • minyak pelincir semi sintetik (cth : Petronas Syntium 800) - 7000km
  • minyak pelincir sintetik/full synthetic (cth : Petronas Syntium 1000) - 10000km

Gred minyak pelincir;
  • monograde (gred tunggal) -  Minyak pelincir 'monograde' adalah minyak pelincir yang hanya mempunyai satu kelikatan tunggal (samada semasa sejuk atau panas).
  • multigrade  - sesuatu minyak pelincir yang mempunyai kadar kelikatan yang boleh berubah daripada lebih cair semasa suhu sejuk kepada lebih pekat apabila kepanasan suhu meningkat.


15W - 50  -----> apa ni?

ini menunjukkan minyak pelincir itu jenis multigrade sebagai contoh Petronas Syntium 800 15W-50. 
Konsonan W adalah bermaksud Winter @ Wet iaitu kadar kelikatan sewaktu suhu enjin sejuk. Di negara-negara bermusim sejuk / salji, minyak pelincir yang mempunyai kadar kelikatan rendah adalah sangat penting bagi memudahkan enjin kenderaan dihidupkan. Manakala angka selepas tanda palang adalah bermakna kadar kelikatan sesuatu minyak pelincir itu apabila suhu enjin panas. Semakin besar angka tersebut, semakin tinggi daya tahan minyak pelincir itu terhadap kepanasan suhu operasi enjin.

 Malaysia mana ada salji, boleh ke guna kat sini?

Walaupun di Malaysia tidak mempunyai musim salji, minyak pelincir 'multigrade' ini juga turut memainkan peranan dan ia juga telah menjadi satu standard yang ditetapkan oleh pengeluar kenderaan. Anda boleh merujuk kepada Buku Panduan Pemilik yang biasanya dibekalkan oleh setiap pengeluar kenderaan. Untuk kegunaan di Malaysia, penggunaan minyak pelincir yang mempunyai kadar kelikatan yang lebih tinggi semasa enjin panas adalah lebih digalakkan. Ini kerana majoriti pemandu-pemandu di bandar-bandar besar di negara ini biasanya menghadapi masalah kesesakan lalu-lintas. Apabila kenderaan terhenti-henti, sistem penyejukan enjin yang biasanya mengharapkan kepada bantuan pengaliran udara akan menjadi kurang efisien. Kadar suhu operasi enjin akan meningkat dan pada masa inilah minyak pelincir akan memainkan peranan dalam membantu menyerap haba yang terhasil daripada operasi sesebuah enjin. Minyak pelincir yang mempunyai gred API yang lebih tinggi biasanya akan berfungsi lebih baik.

Maklumat tambahan;
  • API - American Petroleum Institute
  • SAE - Society of Automotive Engineer

Diadun dan diolah daripada sumber-sumber berikut;
  • http://malaysianbikers.com.my/forum
  • http://www.sioloon.com

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails
This Blog is Protected. Copyright 2010 © Design By Fauzan Al-yildizlillar